Wednesday, August 21, 2019
Latihan 2 Geografi Penggal 3 2019
Latihan 2 Penggal 3
1. Apakah yang dimaksudkan dengan ekosistem akuatik? (3)
2. Senaraikan tiga contoh ekosistem akuatik. (3)
3. Jelaskan dua kepentingan ekosistem akuatik kepada kehidupan manusia. (4)
4. Senaraikan dua komponen yang terdapat dalam ekosistem tasik semula jadi dan ekosistem tasik buatan manusia. (2)
5. Jelaskan dua ciri persamaan yang terdapat dalam ekosistem tasik semula jadi dan ekosistem tasik buatan manusia. (4)
6. "Aktiviti pelancongan secara besar-besaran boleh menjejaskan ekosistem tasik". Jelaskan pernyataan ini. (4)
7. Berikan takrifan berkenaan dengan ekosistem tasik. (3)
8. Berdasarkan ekosistem sebuah tasik, huraikan dua aliran tenaga dalam siratan makanan pada peringkat pengeluar dan pengguna primer. (4)
9. Nyatakan kepentingan ekosistem akuatik sebagai satu sumber kepada alam sekitar manusia. (3)
10. Terangkan maksud kemerosotan kualiti sumber air. (2)
11. Jelaskan dua punca yang menyebabkan kualiti sumber air di Malaysia merosot. (4)
NB
Jawapan
1. Apakah yang dimaksudkan dengan ekosistem akuatik? (3)
Satu persekitaran berair yang terbentuk secara semula jadi atau buatan manusia sebagai komponen abiotik dan dihuni oleh hidupan akuatik sebagai komponen biotiknya termasuk pengeluar, pengguna dan pengurai seperti ekosistem lautan, ekosistem sungai, ekosistem tasik, ekosistem kolam dan sebagainya.
2. Senaraikan tiga contoh ekosistem akuatik. (3)
Tiga contoh ekosistem akuatik ialah ekosistem tasik, ekosistem sungai dan ekosistem laut.
3. Jelaskan dua kepentingan ekosistem akuatik kepada kehidupan manusia. (4)
Dua kepentingan ekosistem akuatik adalah sebagai sumber protein kepada manusia di mana manusia mendapat bekalan ikan untuk dimakan atau dijual seperti bawal, kembung, sotong dan udang.
Selain itu, ekosistem akuatik juga penting sebagai lokasi ekopelancongan seperti Pulau Redang, Pulau Langkawi dan Pulau Perhentian yang terdiri daripada terumbu karang, pantai yang memutih dan sebagainya.
4. Senaraikan dua komponen yang terdapat dalam ekosistem tasik semula jadi dan ekosistem tasik buatan manusia. (2)
Dua komponen yang terdapat di dalam kedua-dua ekosistem tersebut adalah komponen biotik (ikan, udang dan tumbuhan air) dan komponen abiotik (air, udara dan cahaya matahari)
5. Jelaskan dua ciri persamaan yang terdapat dalam ekosistem tasik semula jadi dan ekosistem tasik buatan manusia. (4)
Kedua-duanya merupakan ekosistem berair yang mengandungi komponen biotik dan abiotik yang hampir sama.
Kedua-dua ekosistem tersebut juga merupakan habitat untuk pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan akuatik.
6. "Aktiviti pelancongan secara besar-besaran boleh menjejaskan ekosistem tasik". Jelaskan pernyataan ini. (4)
Kunjungan pelancong yang terlalu ramai meningkatkan jumlah sampah sarap dan kumbahan manusia ke dalam tasik menyebabkan air tasik tercemar dengan sisa pepejal dan seterusnya peningkatan kandungan bakteria e-coli yang akan mengancam hidupan di dalam tasik.
Pembinaan chalet dan hotel di kawasan ini untuk memenuhi keperluan pelancong menyebabkan penebangan tumbuhan semula jadi di sekitar tasik. Tindakan tersebut akan mengubah landskap dan juga meningkatkan kadar hakisan dan seterusnya menyebabkan air tasik menjadi keruh.
7. Berikan takrifan berkenaan dengan ekosistem tasik. (3)
Ekosistem tasik ialah ekosistem berair yang tidak berarus atau mengalir seperti sungai yang memperolehi input air daripada hujan atau aliran air yang mengalir masuk ke dalam sistem berkenaan.
8. Berdasarkan ekosistem sebuah tasik, huraikan dua aliran tenaga dalam siratan makanan pada peringkat pengeluar dan pengguna primer. (4)
Tenaga cahaya matahari diperlukan oleh tumbuhan akuatik seperti rumput, teratai, kiambang, lumut dan fitoplankton serta alga untuk melakukan proses fotosintesis. Tumbuhan bertindak sebagai pengeluar dan penyimpan tenaga dan membekalkan tenaga asas kepada semua hidupan tasik.
Zooplankton dan krustasia seperti udang kecil akan memakan tumbuhan hijau seperti alga dan lumut. Tenaga kimia akan berpindah kepadanya sebagai pengguna primer. Sebahagian besar tenaga ini akan digunakan untuk pembesaran, pergerakan dan pembiakan dan sebahagian kecil dari tenaga kimia dalam zooplankton akan berpindah pula kepada pengguna sekunder apabila pengguna sekunder memakannya dan begitulah seterusnya hingga pengguna tertier.
9. Nyatakan kepentingan ekosistem akuatik sebagai satu sumber kepada alam sekitar manusia. (3)
Ekosistem akuatik banyak menghasilkan sumber protein melalui ekosistem marin di samping aktiviti akuakultur yang menternak ikan air masin dan ikan air tawar.
Ekosistem akuatik juga kaya dengan pelbagai spesies biologi yang amat berguna dalam bidang perubatan seperti rumpair laut yang dijadikan spirulina dan sumber makanan.
Keunikan dan kepelbagaian biologi di ekosistem akuatik amat penting dalam sektor pelancongan dan rekreasi.
10. Terangkan maksud kemerosotan kualiti sumber air. (2)
Pencemaran terhadap sumber-sumber air sama ada dari sungai, laut, tasik, kolam dan takungan semula jadi, air bawah tanah dan air hujan yang tercemar atau semakin rendah kualitinya yang diukur melalui indikator seperti nilai BOD, kandungan E.Coli, kandungan ammonia nitrogen, kandungan pepejal terampai, nilai pH di samping perubahan warna dan bau.
11. Jelaskan dua punca yang menyebabkan kualiti sumber air di Malaysia merosot. (4)
Pembangunan pertanian. Penggunaan racun seperti DDT dan penggunaan baja kimia yang meresap ke dalam sumber air yang dibawa oleh air hujan.
Pembangunan industri perkilangan. Pelepasan influen kilang ke dalam sumber air seperti kilang getah dan kelapa sawit.
Pembangunan sektor penternakan - penyaliran sisa kumbahan dari ladang ternakan telah mencemarkan air sungai dengan bakteria e-coli selain mengubah warna dan air berbau busuk seperti penternakan khinzir di Pulau Pinang dan Melaka telah mencemarkan sumber air sungai.
Pembangunan sektor pelancongan - Pembuangan sisa kumbahan dari hotel dan chalet yang didirikan berhampiran sumber air seperti sungai dan tasik boleh mencemarkan sumber air itu dengan meningkatkan kandungan bakteria e-coli dan meningkatkan nilai BOD.
Penebangan hutan oleh sektor pembalakan - Penebangan hutan secara giat telah mendedahkan permukaan tanah kepada hakisan tanah oleh larian air permukaan. Ini menyebabkan peningkatan kandungan kelodak dan lumpur dalam aliran sungai terutamanya pada musim hujan.
Pembangunan sektor pengangkutan - Tumpahan minyak kapal dan feri
Pembangunan sektor perlombongan - Peningkatan sisa perlombongan
Pembinaan empangan hidroelektrik - pembinaan empangan meningkatkan kelodak
Perkembangan petempatan - setinggan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment