Wednesday, August 21, 2019
Latihan 3 Geografi Penggal 3 STPM 2019
Latihan 3
1. Apakah yang dimaksudkan dengan kepelbagaian biologi? (3)
2. Jelaskan kesan kemusnahan kepelbagaian biologi terhadap persekitaran fizikal. (4)
3. Huraikan kepentingan kepelbagaian biologi terhadap aktiviti manusia di tropika lembap. (4)
4. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep aliran tenaga dalam ekosistem? (3)
5. Huraikan proses aliran tenaga dalam siratan makanan yang terdapat dalam ekosistem pertanian. (4)
6. Jelaskan bagaimana aktiviti pertanian pindah mengganggu ekosistem hutan. (4)
7. Apakah yang dimaksudkan dengan persaingan spesies tumbuhan? (3)
8. Jelaskan dua faktor yang mempengaruhi taburan spesies tumbuhan dalam sesuatu ekosistem. (4)
9. Jelaskan bagaimana tumbuhan primer di sesuatu kawasan mempengaruhi aktiviti manusia. (4)
10. Jelaskan bagaimana suhu dan hujan mempengaruhi pembentukan ekosistem. (4)
1. Apakah yang dimaksudkan dengan kepelbagaian biologi? (3)
Berbagai jenis tumbuhan (flora) dan haiwan (fauna) yang terdapat dalam sesebuah ekosistem.
2. Jelaskan kesan kemusnahan kepelbagaian biologi terhadap persekitaran fizikal. (4)
-mengganggu saling kebergantungan antara komuniti dalam komponen abiotik. Contohnya kekurangan tumbuhan akan mengurangkan kandungan air tanah kerana kurangnya proses infiltrasi dan peningkatan suhu permukaan bumi akan meningkatkan proses pengeringan air dari lapisan tanah.
-Peningkatan suhu atmosfera akibat kurangnya penyerapan gas rumah hijau, permukaan bumi kehilangan pelindung semula jadi oleh kanopi pokok dan kurangnya kandungan wap air dari sejatpeluhan.
-menjejaskan kehidupan haiwan kerana terjejasnya siratan makanan, dan habitat
-mengubah landskap kawasan hutan daripada hutan primer kepada hutan sekunder
3. Huraikan kepentingan kepelbagaian biologi terhadap aktiviti manusia di tropika lembap. (4)
-Hutan yang terdiri daripada pokok yang besar dan lurus seperti pokok tualang, kapor, meranti, cengal, keruing dan lain-lain dapat membekalkan pelbagai spesies kayu balak dalam bidang pembalakan.
-Pelbagai spesies pokok herba seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, hempedu bumi dan lain2 dapat dijadikan bahan mentah untuk tujuan perubatan tradisional.
-menarik pelancong dalam ekopelancongan
-buah-buahan, pucuk ulam, rebung, rotan dan buluh dijadikan makanan dan dijadikan hasil hutan untuk dijual
-R&D
4. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep aliran tenaga dalam ekosistem? (4)
Pemindahan tenaga dari matahari kepada komponen biotik dan abiotik dalam sesuatu ekosistem secara sehala.
5. Jelaskan proses aliran tenaga dalam siratan makanan yang terdapat dalam ekosistem pertanian. (4)
-Aliran tenaga dalam ekosistem pertanian bermula dengan matahari yang membekalkan tenaga kepada pengeluar iaitu tumbuhan. Pengeluar atau tumbuhan akan menukarkan tenaga matahari menjadi tenaga kimia melalui proses fotosintesis. Semasa proses fotosintesis klorofil yang menyerap tenaga suria akan menukarkannya kepada karbohidrat. Tenaga ini disimpan dalam batang, buah, daun atau akar pokok. Contohnya tenaga dalam bentuk karbohidrat disimpan dalam buah/biji padi.
-Tumbuhan akan dimakan oleh haiwan yang menjadi pengguna primer lalu menggunakan tenaga untuk pergerakan, pembesaran dan pembiakan. Contohnya belalang yang memakan daun pokok padi dalam ekosistem sawah.
6. Jelaskan bagaimana aktiviti pertanian pindah mengganggu ekosistem hutan. (4)
-Kaedah tebang bakar menyebabkan kepupusan hutan. Ini akan menjejaskan habitat haiwan dan memusnahkan siratan makanan makanan.
-Penebangan hutan asal juga akan mengubah pandang darat dan ekosistem semula jadi hutan. Hutan primer yang ditebang dan dibersihkan akan ditumbuhi oleh hutan sekunder apabila ditinggalkan.
7. Apakah yang dimaksudkan dengan persaingan spesies tumbuhan? (3)
-Kemampuan antara pokok/tumbuh-tumbuhan dalam sesuatu ekosistem untuk mendapatkan cahaya matahari, gas karbon dioksida, garam galian (nutrien) dan air sebagai sumber untuk proses tumbesaran.
8. Jelaskan dua faktor yang mempengaruhi taburan spesies tumbuhan dalam sesuatu ekosistem. (4)
-Faktor topografi/BMB
Taburan tumbuh-tumbuhan adalah berbeza-beza mengikut ketinggian muka bumi sesuatu kawasan. Contohnya, kawasan yang rendah antara 0-30 meter ditumbuhi oleh hutan hujan tropika, hutan paya air tawar, hutan pantai dan hutan paya bakau. Kawasan yang berketinggian lebih 1000 meter pula ditumbuhi oleh hutan gunung.
-Pengaruh haiwan
Haiwan berperanan membantu proses percambahan biji benih sesetengah tumbuhan. Contohnya serangga seperti rama-rama dan lebah menyebarkan benih melalui pendebungaan. Tupai, musang dan burung pula menyebarkan benih melalui pendebungaan.
-Jenis tanih
Kawasan tanah lembap atau tanah bechah akan ditumbuhi oleh hutan paya air tawar. Tanah laterit di cerun bukit akan ditumbuhi oleh hutan saka yang berkayu keras, tinggi dan berdaun lebat. Kawasan tanah berlumpur dan kelodak di pinggir pantai akan ditumbuhi oleh hutan paya bakau.
-Baka tumbuhan asal
Tumbuhan asal yang membiak melalui letupan biji benih, buah yang gugur atau dibawa oleh angin akan membiakkan spesiesnya di kawasan berhampiran.
-Faktor manusia
Penebangan pokok asal oleh manusia menyebabkan kepupusan sesuatu spesies dan digantikan dengan spesies tanaman yang baru. Penyahutanan menyebabkan pertumbuhan tumbuhan sekunder yang baru menggantikan tumbuhan asal di sesuatu kawasan.
9. Jelaskan bagaimana tumbuhan primer di sesuatu kawasan mempengaruhi aktiviti manusia. (4)
-Aktiviti pembalakan
Hutan primer yang terdiri dari spesies pokok yang berkayu keras dan tinggi seperti pokok meranti, cengal, balau, seraya, keruing, tualang dan lain-lain akan dijadikan kayu balak.
-Aktiviti membuat ubatan tradisional
Hutan primer biasanya kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan herba seperti pokok tongkat ali, kacip fatimah, hempedu bumi dapat dijadikan ubatan tradisional. Pokok ini ditebang untuk diambil akar, daun, bunga, kulit dan buah untuk diproses dan dijadikan ubat untuk pelbagai jenis penyakit.
-Aktiviti pengumpulan hasil hutan
Tumbuhan primer yang kaya dengan pelbagai hasil hutan seperti damar, mengkuang, buluh dan rotan dieksploitasi untuk pelbagai kegunaan seperti untuk dijadikan perabot, kraftangan, alat menangkap ikan seperti bubu, sangkar dan serkap.
-Aktiviti mendapatkan sumber makanan
Tumbuhan primer di sesuatu kawasan mengandungi pelbagai buah-buahan yang boleh dijadikan makanan. Antaranya seperti petai, jering, pisang hutan, rebung, berangan dan keranji. Selain dimakan, buah-buahan ini akan dijual untuk mendapatkan sumber pendapatan.
10. Jelaskan bagaimana suhu dan hujan mempengaruhi pembentukan ekosistem. (4)
-Suhu
Suhu mempengaruhi pelbagai jenis fauna. Di kawasan beriklim panas, haiwan biasanya berbulu nipis manakala di kawasan sejuk, haiwan mempunyai bulu yang panjang dan tebal.
-Hujan
Di kawasan hujan yang lebat yang melebihi 2500mm setahun akan ditumbuhi oleh pokok besar berkayu keras serta berdaun lebar seperti hutan hujan tropika. Manakala di kawasan yang kekurangan hujan seperti kawasan gurun yang menerima hujan kurang 250mm setahun akan ditumbuhi oleh pokok yang kurang berdaun dan berakar panjang seperti tumbuhan gurun. Contohnya pokok renek berduri dan pokok kaktus.
(C Nik)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment